28 Dec 2016

Amukan Jiwa Seorang Hamba

“Ya Allah, aku sudah lakukan segala-galanya, solat, puasa, sedekah, bangun malam, iktikaf di masjid tapi apakah tiada satu pun dikira olehMu?.


Amukan Jiwa Seorang Hamba
Oleh Eeza Rosli
Aina Saffiya berjalan menyelusuri pesisir pantai dengan kakinya menyentuh pasir halis yang lembut dan memutih. Deru angin yang bertiup terasa hangat di hujung petang. Matahari mula mahu mengundur diri namun hati Aina berat untuk membenarkan sinar mentari itu menghilang. Terasa tidak mahu dunia sekeliling gelap seperti kelam hatinya yang dibelenggu luka terpendam.
Aina sampai di rumahnya tepat jam 7 malam. Dia ternampak sebuah motorsikal Honda Cup di perkarangan rumahnya, yang pasti itu bukan milik abah. Aina menaiki tangga perlahan-lahan. Terkejut Aina kerana pintu rumah dibuka dengan tiba-tiba. Muncul Saiful, kawan abang Aina di muka pintu. Terjawablah teka teki di hati Aina siapa pemilik motor tersebut.
“Baru balik Aina?” tanya Saiful lembut.
Aina tak menjawab. Geli pula Aina mendengar pertanyaan Saiful. Bukan dia tidak tahu siapa Saiful tu sebenarnya. Aina langsung tak berkenan dengan perangai Saiful. Satu-satunya mat rempit kampung ini.
Lagi Aina tak berkenan apabila Aina dapat tahu abangnya berkawan dengan Saiful. Dia pernah mengadu dengan mak tetapi mak tidak mengendahkannya. Malah mak Aina cakap eloklah abang Aina berkawan dengan Saiful. Saiful tu anak orang kaya.
Aina cepat-cepat naik ke atas dan bertembung dengan Amran, abang Aina.
“Aina, bagi tahu mak, aku tak balik malam ni. Lepak rumah kawan.” Amran sempat berpesan sebelum Aina masuk ke bilik.
“Abang tak kerja ke esok?”
“Tak. Aku dah berhenti.”
“Berhenti lagi?”
“Hah…! Jangan sibuk la kau.” Amran menutup pintu.
Malas nak mendengar bebelan adik perempuannya. Aina tersentak. Aina sangat kecewa dengan Amran. Masih lagi tidak mahu mematangkan diri, memikul tanggungjawab. Aina mempunyai empat orang adik beradik. Aina anak yang kedua. Amran anak sulung, berusia, 26 tahun, manakala dua lagi adik, Amira 16 tahun dan Asina, 11 tahun.
Pada pandangan Aina, Amran perlu memikul tanggungjawab untuk membantu mak dan abah. Mereka sekeluarga bukanlah sebuah keluarga berada. Ayah hanya menjadi pembantu di kolam ikan milik ketua kampung. Mak juga terpaksa bekerja walaupun mempunyai penyakit darah tinggi yang teruk. Usia mak dan abah yang sudah melebihi setengah abad membimbangkan hati Aina jika mereka terus bekerja.
Namun Amran tidak mengerti semua ini, yang dia tahu hanyalah keseronokan dan kepuasan diri. Bekerja bila dia suka dan berhenti bila dia tak suka. Berkerja dan berhenti sudah menjadi rutin Amran. Jika dapat gaji, duit tersebut habis dijoli. Langsung tidak dihulur kepada mak dan abah. Abah sudah malas nak menegur dan mak hanya membiarkan sahaja sebab Amran adalah satu-satunya anak lelaki mereka. Aina benci.
Usai solat isyak, Aina keluar bilik. Sakit mata Aina melihat rumah berselerak. Sebelum keluar rumah tengahari tadi Aina telah siap berkemas. Ruang tamu dan dapur sudah cantik. Entah apa yang abang dan si Saiful tu buat sampai bersepah rumah. Aina membersih dan mengutip pinggan dan gelas kotor. Dia turun ke dapur. Sekali lagi Aina berang. Pinggan-pinggan yang kotor tertimbun dalam sinki. Dia pasti, itu adalah kerja Amira dan Asina. Tidak membasuh pinggan selepas makan nasi. Mak dan abah tiada di rumah kerana menghadiri kenduri saudaranya. Mak dan abah merewang jadi esok barulah mereka berdua pulang. Terpaksalah Aina mengemas semuanya. Amira dan Asina tidak tahu menghilang ke mana.
Selepas siap mengemas dan membasuh pinggan Aina memanaskan lauk dan menyimpannya. Tiba-tiba terdengar suara Amira dan Asina ketawa. Aina naik ke ruang tamu.
“Baru balik? Kamu berdua ni ke mana? Malam – malam macam ni baru balik.”
“Kami pergi rumah kawan jelah.”
“Mentang-mentang mak dan abah tak ada, kamu ambil kesempatan ye.”
“Bisinglah akak ni. Dahlah Mira nak mandi dulu.” Amira memang suka melawan. Asina hanya mengikut Amira. Tidak menjawab.
Aina geram. Dia berasa sudah tidak sabar lagi untuk pulang ke kampus. Hatinya terluka bagai dihiris berkali-kali. Keluarganya tetap seperti itu, dari dulu lagi. Aina sendiri tidak pasti ke mana hala perginya keluarga yang hidup seperti itu. Perasaan Aina bercampur baur. Kadang kala Aina merasakan dia tinggal bersama orang gila. Semua ahli keluarga sakit jiwa. Sehingga penyakit itu berjangkit kepadanya. Aina bertekad untuk pulang lusa. Dia tak sanggup lagi menahan rasa, memendam duka. Dia tidak mahu berdosa pula kepada mak dan abah. “Cukuplah.” Kata hati Aina.
Selepas seminggu pulang ke kampus. pembelajaran Aina berjalan seperti biasa di universiti. Walaupun tekanan keluarga Aina tidak pernah surut namun tinggal berjauhan adalah jalan terbaik untuk Aina melupakan seketika. Aina memang suka sibukkan diri dengan pelajaran dan aktiviti kolej. Bagi Aina tekanan belajar lebih baik jika dibandingkan dengan tekanan keluarga. Aina tinggal satu semester lagi sebelum tamat pembelajarannya. Aina merancang untuk mengajar tuisyen sementara menunggu penempatan mengajar di mana-mana. Yang pasti Aina tidak akan tinggal di kampung untuk jangka masa yang lama. Aina bercadang untuk pulang sekali sekala menziarahi mak dan abah serta adik beradik.
Aina baru pulang dari kelas. Dia masuk ke dalam bilik dan meletakkan semua buku di atas meja. Aina duduk di hadapan meja belajar dan menghidupkan laptop. Aina menguntum senyuman membaca satu emel. Sudah 2 tahun Aina menatap emel yang sama tatkala rindu datang bertamu di hati. Emel itu telah dikirim oleh Faruq, seorang insan yang istimewa di hati Aina. Faruq sudah 2 tahun tamat pengajian dan setahun tua daripada Aina kini Faruq mengajar di sebuah sekolah di Selangor. Demi menjaga adab dan mengelakkan fitnah, Faruq telah mengirim satu emel untuk memberitahu Aina bahawa dia amat sukakan Aina dan akan memperisterikan Aina setelah Aina habis pengajian. Aina berpegang pada janji tersebut dan berharap semua perancangan akan berjalan dengan lancar. Cuma kadang-kadang hati ini terkesan juga dengan usikan-usikan liar. Apabila sudah lama tidak bersua dan berada di depan mata, prasangka buruk mula menular. Hanya doa yang mampu menangkis semua andaian tak berakal itu.
Tinggal 3 minggu lagi untuk Aina dan teman sepengajian yang lain menghadapi peperiksaan akhir. Masing-masing berdebar kerana inilah musim peperiksaan yang terakhir selama 4 tahun belajar di universiti.
Aina dan Sarah berjalan-jalan di taman rekreasi menghirup udara segar, hilang ketegangan sehari-hari belajar. Sarah mengajak Aina duduk di sebuah bangku menghadap tasik.
“Oh ya! Aina ingat lagi tak dekat Kak Mashitah?” Sarah memulakan perbualan mereka.
“Kak Mashitah yang mana?” Aina menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia cuba mencari nama Mashitah dalam data memorinya.
“Kak Mashitah yang jadi mentor Sarah dulu. Masa kita tahun 1. Masa tu Kak Mashitah sudah di tahun akhir.”
“Aina dah ingat. Kakak yang suka belanja kita ais krim tu, kan?”
“A’ah dialah. Dia akan berkahwin hujung minggu ni. Bakal suami dia nama Faruq. Senior kita juga. Kalau tak silap namanya Faruq Syakirin.”
Berderau darah Aina apabila mendengar nama Faruq. Betulkah apa yang didengarinya, Faruq akan berkahwin hujung minggu ni, itu pun dengan orang lain. Hancur luluh hati Aina. Dia hanya berdiam diri semasa pulang dari taman rekreasi itu. Malam itu Aina tidak dapat menahan diri lagi. Dia mengambil keputusan untuk bertanya sendiri kepada Faruq. Aina menghantar emel pendek. Berharap persoalan yang terbuku di hati terjawab dengan cepat. Keesokan pagi, Aina mendapat emel daripada Faruq yang tertulis,
“Maafkan saya Aina. Saya tak dapat tunaikan janji saya pada Aina. Urusan jodoh urusan Allah. Moga Aina menemui pengganti yang lebih baik.”
Aina kaku. Dia benar-benar tidak menyangka ini kesudahan pada kisah cintanya. Hanya air mata menjadi teman dan pengubat luka.
Keadaan diri Aina menjadi berubah menjadi lemah dan lesu. Aina telah hilang semangat. Dia benar-benar patah hati. Sudahlah konflik dengan keluarganya menekan di jiwa. Kisah cinta yang tidak sampai ke jinjang pelamin itu telah menambah luka di hati. Tekanan yang dihadapi Aina seakan-akan membunuh Aina secara perlahan-lahan. Aina mula menyalahkan Tuhan. Dia merasakan Tuhan tidak sayangkan dia.
“Ya Allah, aku sudah lakukan segala-galanya, solat, puasa, sedekah, bangun malam, iktikaf di masjid tapi apakah tiada satu pun dikira olehMu? Segala impian aku hancur sehancurnya hati aku sekarang.” Luahan hati Aina itu seperti menyatakan rasa putus asanya dengan Tuhan.
Peperiksaan akhir telah tamat. Aina cuba melakukan sedaya yang boleh walaupun dia tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran. Tekanan hidup yang dihadapi mengatasi segalanya. Aina tekad dengan keputusannya untuk terus menetap di Selangor dan tidak mahu pulang ke kampung buat masa sekarang. Dia akan mengajar tuisyen buat sementara. Aina rasa dia mampun bertahan kerana duit biasiswa masih berbaki banyak hasil daripada sikap jimat cermat semasa belajar dulu. Cuma…sesuatu telah berubah pada diri Aina. Pakaian dan hati Aina. Aina kini tidak lagi berjubah dan bertudung labuh, hanya berseluar dan bert-shirt lengan panjang, kemudian bertudung bawal. Pakaian yang dulu telah Aina simpan kemas di dalam sebuah beg. Hatinya tidak dapat menahan gelojak jiwa yang terpendam maka dia hilang kawalan. Aina seakan-akan memprotes pada takdir hidup sendiri.
Selepas dua bulan membina hidup sendiri di perantauan, Aina pulang ke kampung. Mak, abah dan ahli keluarga yang lain terkejut dengan perubahan terhadap diri Aina. Namun tiada siapa yang berani bertanya. Aina juga tidak mahu bercakap tentangnya. Sikap Aina di rumah juga berubah. Panas baran. Cepat melenting mengalahkan Amira. Aina hanya balik 2 hari sahaja kemudian pulang semula ke Petaling Jaya. Itulah tempat tinggalnya sekarang. Mak dan abah Aina tidak dapat berkata apa-apa. Jauh di sudut hati mak Aina, dia berasa sedih melihat keadaan Aina. Dia dapat rasakan Aina sedang sakit dan sangat berat sakit yang ditanggung Aina itu.
“Ya Allah, ampunkanlah segala dosa-dosaku. Aku akui aku bukanlah seorang ibu yang baik tapi aku mohon kepadaMu ya Allah selamatkan Aina Saffiya, anak gadisku. Jangan biarkan dia menanggung deritanya sendirian. Ya Allah, dia hambaMu yang taat, yang setia, aku suka dan gembira dengan dirinya yang dulu. Aku mohon kepadaMu kembalikan kepadaku Aina Saffiya yang baik, sopan dan lemah lembut, malah seorang yang bersemangat dan tidak putus asa.” 
Mak Aina berdoa sungguh-sungguh kepada Tuhan yang satu. Tuhan yang yang mendengar dan memakbulkan permintaan hamba-hambaNya. Pada masa dan keadaan yang terbaik.
Motorsikal Aina pancit di hadapan sebuah surau. Pada masa itu jemaah baru sahaja selesai solat fardu Zohor. Aina mengheret motorsikalnya masuk ke dalam perkarangan surau. Aina menelefon mekanik yang terdekat untuk datang ke surau, menggantikan tiub yang bocor tersebut. Aina memang akan menyimpan sebanyak yang mungkin nombor-nombor mekanik supaya dapat digunakan pada keadaan sebegini. Mekanik yang Aina telefon meminta masa 30 minit kerana sekarang ada ramai pelanggan. Aina akur kerana itulah satu-satunya kedai mekanik yang sanggup datang. Aina tidak mahu terlambat pula untuk ke mengajar tusyen pukul 3 petang nanti.
Terdetik dalam hati Aina untuk menunaikan solat Zohor terlebih dahulu sebelum mekanik sampai. Aina masih lagi menunaikan solat lima waktu cuma dia sekarang selalu melambat-lambatkan solat. Usai solat Aina keluar dan duduk di beranda surau. Aina melihat ada 2 orang perempuan sedang berbual di situ. Seorang nampak sebaya dengan dirinya, seorang lagi nampak lebih tua 3 atau 4 tahun dari umurnya.
“Kak Salmi, kenapa Allah selalu uji Aisyah? Lepas satu masalah selesai, satu masalah yang lain pula yang datang. Betul ke ujian tu tanda kasih sayang Allah?” Aina tertarik dengan soalan perempuan yang bernama Aisyah tersebut. Aina cuba mendekat sedikit dirinya dengan 2 perempuan yang sedang berbual tersebut.
Aina melihat perempuan yang dipanggil Kak Salmi itu memandang tepat ke arah Aisyah. Mata mereka bertentang. Kak Salmi mengambil tangan Aisyah dan menggengamnya sejurus selepas itu dia bersuara.
“Aisyah, Allah ada berfirman, ‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. Surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3.”
Salmi berhenti seketika. Menarik nafas tenang untuk meneruskan lagi kata-kata.
“Ujian adalah satu cara untuk Allah s.w.t menapis golongan hambaNya. Yang mana yang benar ikhlas beriman dan yang mana pula golongan yang hanya berpura-pura beriman. Dalam menghadapi ujian, Allah tidak hanya melihat bagaimana penyelesaiannya tetapi Allah menilai dari awal seseorang hamba itu diuji sehinggalah berakhirnya ujian tersebut. Allah mengira kesabaran, kecekalan dan ketaatan hamba-hambaNya dalam tempoh mereka diuji. Sabarkah dia? Tenangkah dia? Atau dia memberontak? Semua diambil kira.”
“Tapi Aisyah diuji berkali-kali. Bahagia tu rasa sekejap je.”
“Allah menguji hambaNya mengikut kemampuan hamba itu sendiri. Allah Maha Mengetahui siapa hamba-hambaNya yang diuji. Cuma kadang kala sang hamba itu tidak sanggup diuji sehingga dia melawan fitrah dirinya. Itulah yang menyebabkan orang yang diuji hilang pertimbangan, protes, dan melakukan kemungkaran.”
“Aisyah teringat pula ceramah ustaz dua hari lepas. Allah berfirman dalam al-Quran, pohonlah pertolongan dengan Allah dengan sabar dan solat.”
“Betul tu. Bila diuji kita kena banyak bersabar. Banyak juga berdoa. Bukannya banyak mengeluh dan melenting. Kita kena akui yang Allah yang berkuasa ke atas diri kita. Jadi kita kena belajar untuk menerima ketentuan yang telah Allah tetapkan ke atas kita. Kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Dunia ini tidak akan kekal. Janganlah kerana mahu capai bahagia dunia semata kita abaikan kehidupan yang abadi di akhirat nanti.”
“Jadi maksud Kak Salmi…Aisyah kena terus bersabar jika terus diuji?”
“Betul. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Bagi akak setiap ujian yang mendatang macam tingkatan yang ada pada sebuah gunung. Jika satu ujian dihadapi menepati dengan apa yang Allah tetapkan. Maka kita akan naik satu tingkat ke atas. Jika ujian tersebut masih gagal untuk dihadapi maka kita akan tetap berada disitu dan akan diuji dengan perkara yang sama sehinggalah kita berjaya ke tingkat seterusnya.”
“Menarik juga perumpamaan Kak Salmi tu ye. Baiklah, mulai hari ni Aisyah akan berusaha untuk lebih bersikap positif dalam menghadapi setiap ujian hidup. Terima kasih Kak Salmi.”
Dua orang perempuan tadi tidak sedar perbualan mereka itu telah didengari oleh Aina. Sejak dari tadi air mata Aina tidak putus-putus mengalir. Kata-kata Kak Salmi tadi seperti bercakap tentang dia yang sedang kalah bermujahadah. Aina rasa amat berdosa kepada Allah s.w.t. Siap sahaja mekanik membaiki motorsikal, Aina terus pulang ke rumah. Dia membatalkan kelas tuisyen rumah kerana kecemasan dan berjanji akan menggantikannya pada hari lain.
Aina mendirikan solat sunat taubat berulang kali dan beristighfar sepanjang hari. Dia menangis, merayu kepada Allah agar diampunkan segala dosanya. Dia tahu dia sudah menyimpang jauh. Baru sedikit diuji dia telah menjauh dengan Allah menampakkan imannya yang rapuh.
“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Curahkanlah kasih sayangMu kepadaku sehingga aku tidak mendambakan lagi kasih sayang selain dari Engkau ya Allah. Bimbinglah aku menuju kehidupan yang abadi tenang di syurgaMu.”
Aina membuka beg yang berisi jubah dan tudung labuhnya. Dia mengenakan semula pakaian tersebut. Semua anak-anak murid tuisyen Aina terkejut melihat perubahan Aina. Namun hanya Aina yang tahu akan kebenarannya. Kini Aina lebih positif menjalani kehidupan. Malah Aina sendiri bertemu dengan Kak Salmi untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar. Dia bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Kak Salmi. Mak Aina senyum lebar melihat anak gadisnya telah kembali. Kali ini Aina tampak lebih tenang dan sentiasa senyum. Aina memeluk mak dan dia memohon ampun atas segala dosa-dosanya. Malah Aina meluahkan rasa hatinya. Abah, Amran, Amira dan Asina yang turut sama mendengar rasa sebak dan terharu dengan kasih sayang Aina terhadap keluarganya.
“Allah tidak pernah tinggalkan hamba-hambaNya.”
~TAMAT~
Biodata Penulis.
Eeza Rosli adalah nama pena. Nama sebenar adalah Nur Izawati Binti Rosli. Berumur 28 tahun. Dunia penulisan adalah satu cabang seni, satu bentuk hiburan serta satu metod dakwah yang sangat luas termasuklah dalam penulisan cerpen, puisi, novel, artikel ilmiah dan penulisan skrip drama. Fokus penulisan adalah berbentuk ketuhanan dan inspirasi yang saya lihat melalui hidup saya atau orang sekeliling saya.
Eeza Rosli
0199026218
.

No comments:

Post a Comment