22 Dec 2016

Memori Umrah 2016 Siri 1

Sebak hati, tak sangka dalam 1.7 bilion umat Islam, Allah pilih juga saya ke tempat yang begitu mulia ini. 

TRAVELOG UMRAH

MEMORI UMRAH 2016

Hari Pertama (5/12/16)

*APA KHABAR RASULULLAH*

Asalnya langsung tak berniat untuk menulis tentang program Umrah ini. Namun oleh kerana banyak pengalaman yang tak patut dilupakan, rasanya kena tulis juga. Selain dari berkongsi cerita, mudah-mudahan ia mendorong saya untuk datang lagi bila membacanya semula suatu hari nanti.

Kami sampai di airport Madinah jam 4 petang. Hampir tiga jam kemudian barulah selesai urusan imegresen. Berdiri untuk beratur sahaja sudah makan masa lebih 2 jam.

Memang cukup memenatkan, tetapi selepas dapat tahu ada kawan yang turun di airport Jeddah beratur sehingga 6 jam, nampaknya kami masih dalam kategori yang bertuah. Syukur.

Sampai di hotel, kami dinasihatkan rehat terus untuk memulakan ibadat esok. Namun hati ini tidak boleh lagi menunggu untuk berjumpa Rasulullah SAW.

Selesai makan dan mengurus penginapan peserta, saya mengajak beberapa kawan untuk ke Masjid Nabawi. Hotel kami hanya dua beberapa puluh meter dari kawasan masjid, di sebelah hadapan kiblat.

Lebih kurang jam 10 malam, buat kali pertama saya memijakkan kaki di Masjid Nabawi, tempat kedua paling  mulia bagi umat Islam. Cuaca sejuk nyaman, kawasan lapangnya luas dan nampaknya orang tidak begitu ramai. Tenang sungguh dirasa. Sebak hati, tak sangka dalam 1.7 bilion umat Islam, Allah pilih juga saya ke tempat yang begitu mulia ini.

Saya terus mencari di mana Raudhah, yang disebut oleh Nabi SAW sebagai salah satu taman di antara taman-taman syurga. Oleh kerana semua kami baru kali pertama datang, masing-masing meneka sahaja. Mujur saya teringat gambar kulit sebuah kitab hadis di rumah, ada gambar kubah hijau. Daripada lapangan luar, saya nampak kubah itu berada pada bahagian paling hadapan bangunan masjid.

Kami terus meluru masuk melalui pintu yang agak jauh dari kubah bernama Bab Salam. Orang tak berapa ramai. Tapi di satu sudut kecil betul-betul bawah kubah hijau itu, orang sangat ramai dan berasak-asak. Itulah dia Raudhah yang disebut oleh Nabi SAW terletak antara mimbar dan rumahnya.

Awal Islam sampai ke Madinah dahulu, masjid ini kecil sahaja. Kira-kira 1050 meter persegi. Bilik-bilik isteri Nabi menjadi dinding sebelah kiri masjid. Kini, bilik-bilik itu sudah berada dalam masjid. Luasnya mungkin sudah sebesar sebuah kampung! Termasuk halaman luar masjid adalah 333,327 meter persegi dan mampu memuatkan sehingga 700,000 jemaah satu-satu masa.

Kajian mengatakan bandar Madinah yang asal semuanya sudah menjadi masjid. Itupun projek pembesaran terus berjalan. Hotel-hotel sekitar bakal dirobohkan. Tanda umat ini bertambah begitu pesat sekali.

Untuk masuk ke Raudhah, perlu berebut dengan orang ramai yang tak pernah putus. Ada ruang kosong terus berlari masuk sebelum orang dapat. Oleh kerana membilang hari yang masih banyak di Madinah, saya menuju ke mihrab imam di luar kawasan tersebut dan solat sunat di situ sahaja.

Di merata tempat luar bangunan masjid, ramai pihak sedang membahagikan pelbagai jenis makanan.
Kalau tahu banyak makanan di sini, saya tak makan di hotel tadi. Dalam kekenyangan, sempat juga ambil sebiji coklat, sebiji sandwich gulung dan sekeping roti wholemeal cicah manisan berbentuk serbuk macam campuran kurma dan coklat.

Jam 11 selepas menikmati keindahan bahagian hadapan Masjid Nabawi, kami pulang ke hotel untuk beradu. Tidak sabar rasanya untuk berkunjung lagi esok.

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment