4 Jan 2017

Janji Alissa

Kenapa you tak pujuk saja mereka supaya lupakan saja hasrat mereka. Buang masa saja. Bukankah kehidupan mereka sekarang sudah bagus

Janji Alissa
Oleh Eeza Rosli


Sepasang kaki sedang laju berjalan. Derapannya bergema memecah kesepian pejabat yang masih lengang. Jam di dinding baru menunjukkan pukul 7.45 pagi. Hanya ada tiga orang sahaja di pejabat itu. Semua yang berada di situ memandang ke arah bunyi kasut tersebut. Terkejut mereka apabila melihat Alissa, ketua jabatan mereka datang awal ke pejabat. Alissa tidak memandang sesiapa. Mukanya kelihatan serius. Tiada siapa yang berani menegur. Alissa terus masuk ke bilik dan menutup pintu dengan bunyi yang agak kuat. Alissa menghempas beg tangannya ke atas meja dan dia terus berdiri di hadapan tingkap melihat pemandangan luar.


“Alissa, mama dan papa sudah membuat keputusan. Kami dah tekad untuk menganut Islam. Minggu depan kami akan ke pejabat agama.” Terngiang-ngiang di telinga Alissa apa yang mama beritahu dia semalam. Kata-kata itulah yang mengganggu tidur malam Alissa sehingga dia tidak dapat melelapkan mata. Alissa mengeluh panjang apabila menemui jalan buntu terhadap belenggu hatinya sekarang.


Semua kerja yang dilakukan Alissa hari itu juga tidak menjadi. Dia hanya termenung memandang laptop di hadapannya.


Malam menjengah menutup segala kecerahan hari. Maria, ibu Alissa sedang duduk di beranda rumah sambil membaca buku dan minum secawan kopi. Maria risau memikirkan Alissa kerana sudah tiga hari Alissa keluar awal ke tempat kerja dan pulang lewat malam. Dia sendiri tidak pasti apa yang bermain dalam fikiran anak gadisnya. Adakah keputusan untuk menganut agama Islam menjadi puncanya?


Kereta Alissa masuk ke dalam perkarangan rumah. Alissa terkejut melihat mama masih berada di luar. Mata Alissa sempat menjeling pada jam kereta.


“Sudah tengah malam. Kenapa mama masih ada di luar?” Alissa kehairanan. Jika mama menunggu papa, kereta papa sudah berada di perkarangan rumah.” Alissa masih berteka teki di dalam hati.


“Mama belum tidur lagi?” Alissa menegur Maria yang senyum menyambut kepulangan anaknya.


“Belum. Mama tunggu Alissa.”


“Tunggu Alissa? Kenapa?”


“Saja mama nak tunggu Alissa. Mama rasa dah Mama lama tak jumpa Alissa.”


Alissa terdiam. Alissa memang akui sudah lama dia cuba mengelak daripada berjumpa mama atau papa. Dia tidak mahu bercakap tentang topik menukar agama yang mama dan papa selalu cakapkan.


“Alissa dah makan?” Mama bertanya apabila melihat Alissa lama mendiamkan diri.


“Dah. Mama, Alissa penatlah. Alissa masuk dulu.” Alissa bercakap benar. Dia berasa terlalu penat hari ini kerana siang tadi Alissa terpaksa kendalikan dua mesyuarat. Mesyuarat jabatan dan mesyuarat projek baru. Tanggungjawab yang dipikul Alissa memang berat tetapi Alissa seronok bekerja di situ. Gaji yang diperolehi juga amat lumayan.


“Alissa, mama sudah dapat tarikh untuk ke pejabat agama tu. Hari Jumaat ni. Mama harap Alissa bersedialah.”


Alissa mengeluh. Perkara inilah yang dia mahu elakkan. Ikutkan hati Alissa memang dia tidak bersetuju apabila mama dan papa mahu menukar agama dan menganut agama Islam. Tetapi dia tidak mampu untuk menahan hasrat hati orang tuanya. Jadi dia biarkan saja. Cuma yang membelenggu hati Alissa sekarang adalah kerana mama dan papa juga mahu Alissa ikut sekali menganut agama Islam. Alissa belum bersedia untuk semua itu, malah dia tidak pernah terdetik pun untuk keluar dari agama yang dia anuti sekarang. Hati Alissa bertambah kusut apabila Alex, teman lelakinya mengugut untuk berpisah jika Alissa menganut agama Islam.


“Mama..tentang tukar agama tu, boleh tak kalau mama dan papa teruskan dulu tanpa Alissa.”


Maria sedikit terkejut dengan kata-kata Alissa. Maria berhenti membaca. Dia menutup buku selepas menanda muka surat yang sedang dibaca.


“Kenapa sayang?” Maria membahasakan diri Alissa sayang. Dia bertanya lembut kepada Alissa.


“Alissa belum bersedia mama. Alissa tidak mahu terburu-buru.”


“Alissa tak sayangkan mama ke?”


“Mama…! Alissa sayangkan mama dan papa tapi Alissa juga sayang Alex. Mama pun tahu Alissa dah lama berkawan dengan Alex. Alex satu-satunya lelaki yang memahami Alissa. Alissa sayangkan dia.”


Maria terdiam. Dia tidak tahu bagaimana hendak memujuk Alissa. Alissa menangis dan terus meluru naik ke atas dan masuk ke dalam bilik. Maria ditinggalkan keseorangan di luar. Sebenarnya Maria sudah dapat merasakan Alissa tidak dapat menerima tentang hasrat hati dia dan Kelvin, papa Alissa untuk menukar agama. Sekarang dia hanya berharap keajaiban dari Allah s.w.t untuk melembutkan hati anak gadis kesayangannya itu.


Maria dan Kelvin telah lama berhasrat untuk menganut agama Islam. Sudah setahun mereka mengikuti kelas dan mempelajari agama Islam. Hal ini tercetus apabila Kelvin berkenalan dengan Firdaus, penolong pengurus baru. Sikap dan perilaku Firdaus amat menarik perhatian Kelvin. Malah Firdaus selalu meleraikan persoalan-persoalan Islam di dalam benak fikiran Kelvin. Sejak dari itu Kelvin mula menunjukkan minat terhadap Islam dan dia mendaftarkan dirinya dan Maria ke dalam kelas pengajian Islam. Kadang-kadang Kelvin akan ikut Firdaus mendengar ceramah agama.


Maria tersedar dari lamunan ketika angin sejuk malam menyapa. Maria masuk ke dalam dan menutup pintu.


Malam semakin menghampiri subuh. Alissa tidak dapat melelapkan mata. Dia asyik memikirkan perbualan dengan mama tadi. Fikirannya berkecamuk. Alissa memang belum bersedia untuk memulakan kehidupan sebagai seorang muslim. Pakaian perlu menutup aurat. Kena solat, puasa dan banyak lagi yang perlu dibuat. Bagaimana dia boleh menjadi seorang muslim yang baik jika agama yang dia anuti sekarang pun tidak dihayati betul-betul. Itulah pandangan mata hati Alissa. Dia juga tidak sanggup untuk meninggalkan aktiviti hujung minggu yang sudah menjadi kewajipan dia dan kawan-kawan seperti pergi ke kelab dan berparti.


Alissa bangun dari pembaringan. Dia melihat jam di telefon pintar miliknya. Jam 5.00 pagi. Alissa mengambil keputusan untuk keluar awal. Dia bercadang untuk berjogging sebelum ke pejabat.


Seminggu selepas itu, Maria,Kelvin dan Alissa selamat melafazkan dua kalimah syahadah. Maria dan Alissa kekal dengan nama asal manakala Kelvin menukar nama kepada Ahmad Muadz. Maria dan Muadz sangat gembira dengan jiwa yang baru. Saat kalimah itu dilafazkan, mereka berdua menitiskan air mata. Terharu dengan rahmat Allah s.w.t. Sesungguhnya nikmat Islam dan iman itu tidak ternilai harganya. Berbeza dengan Alissa. Dia tidak merasa apa-apa malah sikapnya masih seperti dulu. Dia tetap mengelak untuk berjumpa dengan mama dan papa. Alissa tidak bertudung malah pakaiannya tetap sama seperti dulu. Maria bimbang melihat keadaan Alissa sehingga satu hari Maria rasa dia perlu menegur Alissa.


Maria sedang menunggu Alissa di ruang tamu. Maria memandang jam dinding sudah pukul 2 pagi. Alissa masih tidak pulang. Maria tahu ke mana anak gadis kesayangannya pergi. Kalau dulu sebelum dia seorang muslim, memang dia hanya membiarkan sahaja kehidupan bebas Alissa tetapi kini Alissa tidak boleh dibiarkan hanyut dengan tipu daya dunia ini. Maria sendiri tidak faham kenapa Alissa suka sangat pergi ke kelab malam sedangkan dia tidak pernah menjejak kaki langsung ke tempat itu sepanjang hidupnya. Bagi Maria hidup yang terlalu bebas tanpa terikat dengan agama menyebabkan kehidupan itu porak peranda. Hati tidak tenang malah kosong. Keseronokan sementara itu boleh mematikan hati dan jiwa.


Maria tersentak dari lamunan oleh bunyi pintu yang dibuka. Maria melihat Alissa masuk ke dalam dalam keadaan mabuk tetapi dia masih sedar. Alissa terkejut melihat mama sedang berdiri dengan muka yang serius di ruang tamu. Alissa buat-buat tak nampak dan terus menaiki tangga rumah. Dia masuk segera masuk ke bilik.


“Alissa! Ke mana Alissa pergi? Lewat malam macam ni baru balik?”


“Alissa keluar dengan kawan-kawan.”


“Dengan pakaian macam ni?” Maria menunjukkan jarinya ke arah Alissa. Alissa hanya mendiamkan diri. Sekarang dia berada dalam dua dunia. Memang pakaian Alissa agak keterlaluan pada malam itu. Alissa mahu protes kepada mama yang asyik menyuruhnya berpakaian menutup aurat.


“Mama tahu Alissa pergi ke kelab malam, bukan?”


“Ya! Walaupun Alissa tahu mama tak benarkan?”


“Tolonglah mama. Alissa bukan budak kecil lagi. Alissa tahu apa yang Alissa lakukan. Lagipun Alissa masuk Islam bukan atas kehendak Alissa. Mama yang paksa.”


“Alissa!” Maria meninggikan suara sedikit. Selama ini Alissa tidak pernah bercakap seperti itu dengannya.


Tiba-tiba Muadz datang meredakan keadaan. Alissa terus masuk ke bilik apabila melihat papa keluar dari bilik tidur. Alissa tidak mahu bertekak dengan papa pula. Dia sudah terlalu penat. Maria tidak berpuas hati dan memanggil-manggil nama Alissa. Muadz hanya memerhati dan turun ke bawah menenangkan Maria.


“Maria. Sudahlah tu. Biarkan Alissa berehat dulu. Esok kita akan cakapkan hal ini lagi.”


Keesokan hari, Alissa tidak keluar dari bilik. Dia mengurungkan dirinya. Maria dan Muadz tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka berdua juga tidak mahu terlalu menekan sehingga Alissa kembali semula kepada agama asal. Kerana Alissa pernah mengugut untuk berbuat demikian jika mama dan papa memaksa dia untuk menutup aurat.


Maria termenung di luar rumah. Dia duduk di bangku yang berada di tepi kolam. Maria rasa sungguh sedih mengenang sikap Alissa. Selama ini mereka berdua tidak pernah bergaduh. Tetapi kini Allah menguji dia.


“Sayang sedang fikirkan tentang Alissa, ya?” Tiba-tiba Muadz datang menyapa. Sebenarnya Muadz sudah memerhati Maria sejak dari tadi.


“Adakah betul saya yang memaksa Alissa masuk Islam?” Maria bertanya kepada Muadz. Suara Maria tersekat-sekat menahan sebak.


“Kita hanya mahukan yang terbaik buat dia. Bersabarlah. Mungkin inilah ujian yang Allah sudah tetapkan untuk kita. Apa yang penting sekarang kita berdoa dan mohon pertolongan daripada Allah s.w.t.” Muadz menjawab dengan tenang. Dia berharap dengan jawapan yang diberikan dapat menenangkan hati Maria. Muadz teringat kata-kata Firdaus.


“Allah menguji hamba-hambaNya untuk melihat sejauh mana keimanan dan keyakinan mereka terhadapaNya.”


Muadz menyambung lagi berbualan dengan Maria.


“Berikanlah Alissa ruang dan masa. Dalam masa yang sama kita tunjukkan kepada Alissa, bagaimana kehidupan seorang muslim dapat memberi ketenangan jiwa. InsyaAllah, sedikit demi sedikit dia akan belajar dan memahami.”


Maria mengangguk. Tangisannya kelihatan reda. Sesungguhnya dia tidak akan berhenti berdoa untuk Alissa.


Hari sudah meninggi, jam menunjukkan 15 minit lagi pukul 12 tengahari. Mentari terik bersinar tanpa awan di langit biru. Alissa cepat-cepat bersiap. Dia mahu ke lapangan terbang untuk menjemput kekasih hatinya. Sudah 3 bulan Alex ke Dubai kerana urusan kerja. Dia masih tidak tahu tentang keislaman Alissa. Alissa juga tidak bercadang untuk memberitahu Alex. Malah tiada siapa pun tahu tentang keislaman Alissa sekeluarga kecuali saudara mara terdekat. Namun saudara mara Alissa dapat menerima perkara tersebut dengan baik kerana sudah ada antara mereka yang menganut Islam.


“Alissa! Mahu keluar ke?” Maria bertanya ketika mereka bertembung di hadapan bilik Alissa. Maria berhajat mahu mengajak Alissa makan tengahari bersama.


“Ya.” Jawab Alissa pendek.


“Mari makan dulu. Dah lama Alissa tak makan dengan kami.”


Alissa berasa pelik. Dia mengagak mama hanya mahu mengumpannya. Dia tahu perbincangan semalam masih belum selesai. Tapi Alissa tiada hati untuk bercakap tentangnya lagi. Dia tidak mahu mereka anak beranak bergaduh lagi.


“Maaf mama. Alissa ada hal. Penting sangat. Lain kali sajalah. Alissa pergi dulu.” Alissa terus beredar. Dia tidak mahu mama terus memujuk. Dia takut hati lembutnya akan cair mendengar pujuk rayu mama.


Maria terpaksa melepaskan Alissa. Dia mengikut kata suaminya supaya tidak memaksa. Harapan untuk berbaik-baik semula dengan Alissa terpaksa ditangguhkan.


Wajah Alissa berseri-seri menyambut kepulangan Alex. Perpisahan selama tiga bulan itu menyebabkan rasa rindu Alissa yang membuak-buak. Kadang-kadang rasa gusar menghantui diri apabila memikirkan Alex yang berjauhan dengannya. Bimbang jika Alex menemui pengganti dirinya.


“Jom kita pergi makan. Hari ini biar I belanja.” Alissa mengajak Alex makan. Perutnya sudah sakit menahan lapar. Sejak pagi dia belum menjamah apa-apa lagi. Bangun pun bila matahari sudah tinggi tegak di kepala. Alex ketawa melihat Alissa yang sungguh-sungguh mahu belanja dia makan.


“Baiklah. Kalau macam tu kita ke tempat biasa. I rindu nak makan masakan Itali di situ.” Alex memberi cadangan. Alissa gembira menyambut cadangan tersebut. Dia pun sudah lama tidak ke sana kerana ketiadaan Alex.


“Alissa, mama dan papa you jadi ke masuk Islam?” Alissa hampir tersedak mendengar pertanyaan Alex. Alissa ingatkan Alex tidak akan bertanya hal tersebut. Hal ini kerana sejak sampai di restoran hinggalah makanan yang dipesan terhidang mereka banyak berbual tentang pengalaman Alex di Dubai. Alissa cuba mengelak untuk bercerita tentang diri sendiri. Banyak bergosip tentang kawan-kawan sahaja.


“Mm..mereka masih memikirkannya lagi.” Alissa berbohong.


“Masih memikirkannya?” Alex ketawa sinis. “Kenapa you tak pujuk saja mereka supaya lupakan saja hasrat mereka. Buang masa saja. Bukankah kehidupan mereka sekarang sudah bagus.”


Alissa hanya tersenyum tawar dan mengangguk. Dia kemudian mengalihkan matanya ke arah makanan dan menyuap makanan tersebut ke mulut. Dia mahu menutup keresahan hati. Dia takut rahsia akan terbongkar.


You kena ingat Alissa. Kalau you ikut mama dan papa tukar agama. Hubungan kita akan berakhir.” Kata Alex tegas. Alex teguh dengan pendiriannya tidak mahu bertolak ansur.


“Ya. I janji dengan you sayang. Lagipun hidup I biar I yang tentukan. Mereka tak berhak.” Alissa mengucapkan janji yang sudah pun dimungkiri.


“Bagus Alissa. I sayangkan you.” Alex cuba menarik hati Alissa kembali. Lembut menuturkan kata sayang.


“Sudahlah Alex. Apa kata kita habiskan makanan ni cepat-cepat. Lepas tu boleh jumpa Karen dan Max.”


Alissa mengubah topik. Dia tidak sanggup lagi membohongi orang yang dia sayang. Selagi mampu, Alissa tidak akan memberitahu hal yang sebenar kepada Alex. Alissa tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia tidak mahu mengecewakan mama dan papa tetapi dia juga tidak mahu kehilangan Alex. Alex terlalu sempurna bagi Alissa. Kacak, kaya malah sangat serasi dengan Alissa. Berbeza dengan teman lelakinya sebelum ini. Selepas enam bulan berkenalan dan berkawan dengan Alex, tiba-tiba mama dan papa mengajak Alissa masuk Islam. Serba salah hati Alissa.


Hari ini cuaca sungguh cerah. Secerah hati Maria yang dalam kegembiraan selepas menerima perkhabaran baik dari suami tercinta. Muadz memberitahunya semalam, awal bulan depan mereka akan ke Mekah, menunaikan umrah. Alhamdulillah. Akhirnya hasrat hatinya tercapai untuk ke Mekah. Maria bersyukur diberi peluang ini selepas enam bulan bergelar seorang muslim. Kehidupan yang lebih tenang dan membahagiakan. Maria benar-benar merasai ketenangan itu setiap kali menunaikan solat dan berzikir. Sebab itu bibir Maria tidak lekang daripada menyebut dan memuji Allah s.w.t.


Maria ternampak Alissa di meja makan. Hari ini Alissa bercuti. Dia mengambil peluang ini untuk berbual dengan Alissa. Sejak peristiwa dia memarahi Alissa tiga bulan yang lalu, Maria cuba menarik kembali hati Alissa dengan berlemah lembut. Dia tidak memaksa dan menyuruh Alissa secara terus tetapi menunjukkan dengan sikap dan perbuatan. Contohnya dia akan minta Alissa temankan dia untuk membeli tudung, membeli buku-buku agama. Dia juga cuba menghidupkan suasana rumahnya dengan Islam. Amalan pemakanan sunnah. Maria mengikut nasihat Muadz untuk mendidik Alissa secara halus.


“Assalamualaikum Alissa.” Maria memberi salam. Alissa tersentak. Inilah kali pertama mama memberi salam kepada. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Rasa sangat kekok.
“Alissa, jawablah salam tu. Berdosa kalau tak jawab.” Maria menegur lembut. Dia mengusap kepala Alissa. Alissa menjawab salam Maria tergagap-gagap. Tidak biasa. Maria hanya mendiamkan diri seperti tidak tahu apa yang berlaku.


“Mama ada berita baik nak beritahu Alissa.”


“Berita baik apa mama?”Alissa terus menyuap mee goreng ke mulutnya.


“Mama dan papa akan ke Mekah awal bulan depan. Tunaikan umrah.” Maria memberitahu berita tersebut dengan penuh teruja. Alissa terkejut dengan berita tersebut. Dia tidak tahu menahu akan hal itu. Alissa kelu. Dia tidak tahu reaksi apa yang perlu ditunjukkan. Alissa keliru.


Secara perlahan-lahan Alissa membiasakan suasana dan gaya hidup seorang muslim yang diterapkan Maria dan Muadz di rumahnya. Walau bagaimanapun Alissa masih tidak mampu untuk menerima sepenuhnya. Dia cuba berpakaian sopan sedikit walau tidak menutup kepala tapi masih sukar untuk bersolat dan mengikut mama dan papa ke kelas agama.


Alissa keseorangan di rumah. Mama dan papa sudah berangkat ke Mekah dua minggu lebih. Alissa membiarkan sahaja mama dan papa pergi. Tidak mampu menghalang. Alissa akur sekarang yang mama dan papa memang benar-benar mahu hidup dan mati sebagai seorang muslim. Alissa memujuk hatinya supaya menerima kenyataan ini. Jika sebelum ini Alissa masih berharap mama dan papa kembali semula kepada agama asal mereka tetapi nampaknya harapan itu tidak mungkin akan bersinar. Cuma sekarang Alissa masih memikirkan apa pula yang akan berlaku pada dirinya.


Alissa masuk ke bilik bacaan. Dia sangat sunyi berada di rumah. Alissa bercadang mahu keluar bersama Alex tetapi Alex beralasan mahu bekerja di rumah dan tidak mahu diganggu. Alissa terpaksa menerima. Alissa terpandang sebuah buku di atas meja papa. Alissa membuka buku tersebut, membelek. Tiba-tiba terhenti di satu muka surat.


“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” Bibir Alissa menuturkan kata-kata tersebut dan tiba-tiba dia merasa sesuatu di hati. Alissa terkejut dan menutup buku tersebut. Seketika kemudian telefon pintar Alissa berbunyi. Alissa menjawab panggilan tersebut.


Alissa terus rebah dan meraung sekuat hati. Luluh hancur hati Alissa apabila diberitahu mama dan papa maut dalam sebuah kemalangan semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke tanah air. Alissa tidak dapat mengeluarkan kata-kata. Dia hilang arah. Terdiam seketika dengan air mata yang masih mencurah-curah.


Alissa mendail nombor Alex tetapi Alex gagal dihubungi. Alex menutup telefonnya. Mungkin tidak mahu diganggu, fikir Alissa. Jadi Alissa membuat keputusan untuk pergi ke rumah Alex. Alissa memandu ke sana. Alissa sudah tidak tahu pada siapa lagi untuk diluah dan diminta pertolongan. Saudara mara jauh berada.


Alissa meletak kereta di dalam bangunan apartment, tempat tinggal Alex. Belum sempat Alissa keluar dari kereta, Alissa ternampak Alex dengan seorang perempuan lain keluar dari kereta dari kereta dan mereka naiki lif menuju ke atas. Alissa menaiki tangga. Dia pasti Alex akan masuk ke rumah. Alissa nampak mereka berdua masuk ke rumah tersebut. Belum sempat Alex menutup pintu Alissa meluru masuk. Alex dan perempuan tersebut terkejut. Alex serba salah. Alissa menyoal Alex sehinggalah Alex memberitahu yang dia sudah berkahwin semasa di Dubai. Perempuan tersebut adalah isterinya. Hati Alissa hancur sekali lagi. Punah segala impian yang dibina.

Tiba hari pengebumian Maria dan Muadz, suasana di perkuburan sangat suram. Hari mendung semendung hati Alissa yang telah kehilangan dua insan yang begitu bermakna dalam hidupnya. Air mata Alissa sudah kering. Tiada kata-kata yang mampu diungkapkan perasaan Alissa sekarang. Lidah dia sendiri kelu. Dia hanya berdiam diri. Segala urusan pengebumian jenazah diuruskan oleh Firdaus sekeluarga.


Selesai bacaan doa diaminkan, semua yang hadir beransur pulang. Alissa masih tidak berganjak dari tempatnya. Firdaus meminta isterinya memujuk Alissa. Firdaus menghantar Alissa ke rumah. Sebelum pergi Firdaus sempat berbicara dengan Alissa.


“Cik Alissa, banyakkanlah bersabar. Allah amat menyanyangi Puan Maria dan Encik Muadz. Selepas enam bulan mereka masuk Islam, mereka telah dipanggil kembali pada Allah.”


“Cik Alissa, belajarlah dan kenali Islam dengan mendalam. Saya yakin cik akan jatuh cinta dengannya. Cik Alissa tidak pernah keseorangan. Allah sentiasa ada, cik hanya perlu meyakini dengan sepenuh hati.”


Kereta Firdaus berlalu pergi meninggalkan Alissa. Tiba-tiba Alissa menangis. Dia teringat kata-kata mama kepadanya sebelum pergi menunaikan umrah.


“Alissa, mama bersyukur Alissa dilahirkan di dunia ini sebagai anak mama. Ia adalah satu pertemuan yang terindah dalam hidup mama. Mama juga berharap kita akan bertemu semula di syurga kelak. Dan mama harap itulah pertemuan yang terindah buat mama di sana nanti.”


“InsyaAllah mama. Kita akan bertemu di sana.” Janji hati Alissa.


Biodata Penulis.

Eeza Rosli adalah nama pena. Nama sebenar adalah Nur Izawati Binti Rosli. Berumur 28 tahun. Dunia penulisan adalah satu cabang seni, satu bentuk hiburan serta satu metod dakwah yang sangat luas termasuklah dalam penulisan cerpen, puisi, novel, artikel ilmiah dan penulisan skrip drama. Fokus penulisan adalah berbentuk ketuhanan dan inspirasi yang saya lihat melalui hidup saya atau orang sekeliling saya.


Eeza Rosli
0199026218

No comments:

Post a Comment