20 Jan 2017

Memori Umrah 2016 Siri 4


Selesai solat Asar, petugas dan orang ramai sudah bertungkus lumus menyediakan juadah berbuka di Masjid



TRAVELOG UMRAH

MEMORI UMRAH 2016

Hari Keempat (8/12/16)

Hari ini saya cuba berpuasa pula. Berada di tanah haram, tentu sekali kita tidak mahu melepaskan peluang untuk melipatgandakan amalan. Hajatnya biar semua bentuk amalan sempat dilakukan di tanah suci ini. Mana tahu, akhirat nanti Allah kurniakan saya tiket VIP, boleh masuk ke syurga melalui mana-mana sahaja pintu ibadat yang disukai.

Pucuk dicita ulam mendatang. Malam sebelumnya saya diajak pekena nasi mandy pula. Kira niat sahur teruslah. Walaupun masing-masing tak tahu kat mana letaknya kedai nasi mandy, itu bukan masalah. Minta saja pemandu teksi bawakan ke kedai nasi mandi terbaik di Madinah. Sekitar Masjid Nabawi memang sukar cari makanan arab. Kebanyakan kedai Pakistan atau Indon sahaja.

Usai solat Subuh hajatnya ingin membaca Al-Quran. Namun tak semena-mena pandangan terpaku ke arah sebuah majlis talaqqi kecil di satu sudut masjid. Hanya dua tiga orang kelibat arab kelihatan, selebihnya nampak seperti penduduk Asia Tengah.

Asal segan nak sertai sekali. Tapi teringat pula hadis Nabi berkenaan 3 orang yang lalu di sebuah majlis ilmu. Makin lama saya makin rapati dan akhirnya. Terselitlah saya di celah-celah penuntut ilmu sambil menumpang baca kitab orang sebelah.

Talaqqi dipimpin seorang syeikh, membacakan kitab Tafsir dan Hadith. Sebelum mula membaca, beliau menyampaikan mukaddimah tentang akhir zaman. Dia mengajak muridnya meyakini janji Allah bahawa Yahudi bakal dibunuh di tangan umat Islam, dan batu serta pohon akan memberitahu kedudukan Yahudi disebaliknya, walaupun bertentangan dengan kaedah sains.

Sebelum itu banyak lagi yang disebut, cuma saya tidak mengikuti dari awal. Apapun ia sangat menarik. Jarang sebenarnya dengar syeikh arab ambil berat tentang ilmu escatologi.

Gaya penyampaian beliau sangat familiar. Seolah beliau bukan orang Saudi tapi lebih mirip kepada orang Syria. Pakaian dan rupa juga seperti Syrian. Malah, kitab yang dibaca juga daripada karangan ulama Syria iaitu Umdatu Tafsir Ibn Kathir. Niat nak curi-curi ambil gambar, tapi segan pula bimbang mengganggu majlis.

Dalam pentafsiran ayat Kursi, dinyatakan riwayat bahawa sesiapa yang baca ayat itu selepas setiap solat fardu, maka tidak ada lagi pemisah antara dia dan syurga melainkan kematian. Ibnu Jauzi menyatakan hadis tersebut adalah Maudhu', namun Syeikh tersebut menyatakan kritikan Ibnu Jauzi tidak boleh diambil kira kerana terlalu tasyaddud.

Menurutnya, kitab al-Maudhuat Ibnu Jauzi dikritik hebat sebilangan ulama Hadis lain kerana banyak hadis berstatus sahih yang turut disenarai sebagai daif. Tambahan pula, hadis ini termasuk dalam bab fadail amal. Saya selidik serba sedikit tentang hadis ini melalui Syeikh al-Allamah Google. Secara ringkasnya ia adalah hadis Hasan. Syeikhul Islam Ibn Taimiyah sendiri menyatakan dia tak pernah tinggal ayat kursi lepas solat.

"Nanti semua kena baca ayat kursi lepas solat ya." Lebih kurang begitulah pesan Syeikh kepada semua pelajar. Maka berwiridlah kita selepas solat disamping zikir-zikir yang lain walaupun tidak dipimpin oleh imam.

Masuk waktu Dhuha, syeikh mengakhiri pengajian dengan membahagikan sedikit wang saku kepada murid-muridnya. Tak banyak, 500 riyal sahaja! Saya tak tahu adakah ini budaya biasa di Saudi. Tapi di Syria, beginilah adatnya.

Balik hotel, ikuti pula kuliah Dhuha dari Dato Ustaz Husain Awang. Beliau mengajak kami menginsafi bahawa Madinah yabg kami duduki ini adalah simbol kecaknaan Islam dalam bab siasah. Selain itu, sahabat seguru Ayah Chik ini turut memetik semangat perang Badr sebagai perang pertama setelah kerajaan Madinah ditubuhkan. Walaupun serba kekurangan berbanding musuh, itu bukan ukuran bagi mencapai kemenangan Islam.

Katanya, kemenangan tak semestinya bilangan kita perlu lebih ramai dari musuh. Tak semestinya juga musuh perlu tewas semuanya. Di medan Badr, cukup 70 orang musuh dibunuh dan 70 orang ditawan, (14% dari jumlah keseluruhan), Islam sudah mencapai kemenangan. Maka dengan jumlah kita yang sedikit sahaja berbanding pihak lawan di Malaysia, tak semestinya perlu melebihi mereka. Cari sahaja nisbah yang signifikan untuk mencapai kemenangan.

Berpuasa di Madinah sangat menguntungkan. Bab kelebihan tanah haram ni tak payah ceritalah. Lebih dari itu, Madinah sangat sejuk ketika ini menjadikan tekak selamat dari kehausan. Paling best, siangnya lebih pendek dari Malaysia. Subuh jam 5.30 pagi, jam 5.30 pula sudah Maghrib! Rugi kalau tak puasa.

Selesai solat Asar, petugas dan orang ramai sudah bertungkus lumus menyediakan juadah berbuka di Masjid. Walaupun hanya kurma, Roti wholemeal arab dan teh herba pahit, ianya sangat meriah. Lepas berbuka ringkas itu, keluarlah cari main course pula! Tapi bab ni kita skiplah. Bimbang meleleh pula air liur pembaca. Ngee..

Selepas Isyak ada pula sahabat ajak mencuba menu barbeque ala arab. Bab makan memang susah nak menolak di sini. Habis hancur diet. Mujurlah Allah selamatkan nafsu ini. Ringkas ceritanya niat asal nak pergi makan jasmani akhirnya melencong ke program santapan fikri dan rohani.  Dapat juga dengar isu politik antarabangsa dan masalah haraki semasa.

(Alang Ibn Shukrimun)

No comments:

Post a Comment