10 Feb 2017

Memori Umrah Siri 6: Singgah Di Masjid Shajarah (Masjid Pokok)

Kira-kira 10 minit perjalanan, kami sudah tiba di miqat Birr Ali

.
Hari ini adalah hari terakhir kami di Madinah. Selepas Zohor akan terus bertolak mengejarkan umrah ke Baitullah. Sayu hati mahu meninggalkan bumi yang penuh ketenangan ini. Walaupun Masjid Nabawi sangat sesak dengan pengunjung, ia langsung tidak mengganggu ketenangan yang dirasa. Memang berbeza keadaan antara tanah haram dan tanah-tanah lain, bagi yang benar-benar merasai.

Kami terus mengenakan ihram sebelum turun solat Zohor bagi menunaikan solat sunat ihram dan ziarah wida baginda SAW. Dalam doa ziarah, kami meminta agar ziarah ini bukanlah kali terakhir kami bertemu dengan rasulNya. Berilah kami peluang di masa akan datang untuk terus menjadi tetamuNya dan tetamu baginda SAW.

Malam sebelumnya, saya berjaya masuk ke Raudhah buat kali terakhir. Percubaan untuk masuk rasanya tujuh kali juga. Tapi yang berjaya hanya dua kali. Orang terlalu ramai kali ini. Kata seorang mutawwif, jumlah ini adalah paling ramai dalam sejarah dia melakukan umrah.

Sebelum bertolak, sempat saya bergegas ke kedai buku mencari bekalan minda sepanjang perjalanan. Jarak antara Madinah ke Mekkah bukan dekat, kira-kira 450km. Tujuh jam juga diperlukan untuk sampai ke sana.

Ini adalah kali kedua saya sampai ke kedai buku yang dimaksudkan. Biasanya begitulah. Setiap kali ke kedai buku mesti dua kali. Kali pertama adalah meninjau-ninjau buku, kemudian balik dan fikir buku apa yang lebih aula untuk dibeli berdasarkan bajet. Kali kedua barulah sesi membeli belah. Kalau ada kali ketiga tu biasanya sesi tambahan atau sekadar menambah ilmu sahaja. Tak rugi melawat kedai buku atau perpustakaan walaupun tak beli. Tengok tajuk, belek indeks kandungan, baca mukaddimah sahaja sudah dapat banyak ilmu baru.

Kira-kira 10 minit perjalanan, kami sudah tiba di miqat Birr Ali (dahulu Zul Hulaifah). Di sana, masing-masing memperbetulkan pakaian ihram kemudian sama-sama berniat ihram. Bermula detik itu, maka haramlah bagi kami melakukan perkara-perkara sebahagian yang halal sebelum ini, sehinggalah kami bertahallul.

Sepanjang perjalanan, jantung saya tidak henti berdegup deras. Setiap kali melepasi papan tanda jarak ke Mekah, semakin laju jantung berkocak. Nak demam pun ada. Kekhuatiran Allah tidak mengizinkan saya menjadi tetamuNya terus bermain di fikiran.

Mendengar talbiah yang dilaungkan, perasaan syahdu dan semangat pula bertambah. Namun debaran hati masih tidak terhenti. Saya terpaksa tidur bagi menghilang gundah hati. Baca buku pun tak masuk apa dalam kepala.

Jam sepuluh malam, kami sampai di hotel Amjad Jazirah di kaki bukit Ajyad. Selesai urusan hotel, jam sudah melewati angka sebelas. Walaubagaimanapun, kami perlu sempurnakan juga umrah malam ini sebelum tidur bimbang terlanggar pantang larang ihram. Maka jam 12.30 setelah menunggu semuah jemaah siap, kami bergerak menuju Baitullah.

Kaki macam tak terasa apa semasa melangkah setapak demi setapak ke masjidil haram. Teruja, gementar, nak menangis pun ada. Saya kuatkan diri untuk selesaikan juga panggilan Ilahi ini.

Alhamdulillah, berjaya masuk rumahNya dengan izinNya. Ketika melangkah kaki ke pintu besar bernombor 89, mata saya terus meliar mencari di mana Kaabah. tengok kiri tengok kanan masih belum nampak kelibatnya. Apabila bertanya Ustaz Azri, beliau mengatakan jauh lagi dari pintu itu ke lapangan utama tawaf.

Saya jangkakan bila datang lewat malam, lenganglah Masjidil Haram. Rupanya tidak. Sama sahaja keadaan dengan Masjid Nabawi. Ibadah di sini ibarat pesta yang tidak pernah kenal erti puas. Masing-masing kelihatan bersemangat dan tekun dengan ibadah tersendiri.

"Haa.. tu dia Kaabah. Nampak tak?" Kata ustaz Azri. Saya menoleh mengikut telunjuk tangannya, dan saat itulah kedua mata ini dimuliakan oleh Allah menatap syiar keagungan Islam. Serta merta seluruh perasaan gementar dan gelisah hilang. Hati terasa sangat tenang tenteram, seolah berada di dunia lain.

Dalam tidak sedar, langkah saya semakin laju ke arah Kaabah. Rasa macam nak terbang terus ke kali Kaabah. Namun saya perlu mengikut disiplin dan arahan. Tidak boleh berpecah dari kumpulan.

Sampai di Rukn Hajarul Aswad, kami diminta berniat untuk memulakan tawaf. Dipesan siap-siap agar jangan berpecah dan cuba awasi ahli jemaah lain agar tidak terpisah.

Tawaf kali pertama ini saya hanya baca sahaja apa zikir yang terlintas. Jujur saya tidak menghafal sebarang doa khusus atau menelaah kembali hukum-hakam umrah. Cukuplah sekadar mengingati perkara syarat, kewajipan dan pantang larang untuk kali yang pertama ini. Bab perkara sunat dan sampingan, saya ikut sahaja mutawwif berpengalaman.

Selesai tawaf, berdoa di arah Maqam Ibrahim, kemudian solat sunat tawaf, terus ke Bukit Safa untuk bersaie dan akhirnya bertahallul di bukit Marwa. Semuanya memakan masa lebih satu jam.

Alhamdulillah. Ibadat umrah pertama selesai dengan jayanya. Rasa lapang dada, ringan otak seolah satu beban besar baru sahaja terlepas. Tidak dapat dinafikan, bermula dari tawaf sehinggalah selesai saie saya merasa sedikit tekanan di minda. Saya terlalu fokus kepada arahan mutawwif dan keadaan sekeliling, takut-takut tersalah cara. Biasalah, kali pertama. Penat tapi puas.

Balik ke hotel, masih ada lagi urusan belum selesai. Dalam kesibukan menguruskan bilik hotel orang lain, bilik hotel sendiri masih tak ketahuan! Hampir jam empat pagi baru rebahkan badan ke katil. Sebelum tidur, sempat lagi hubungi keluarga beritahu umrah dah selesai.

Alhamdulillah.

(Alang Ibn Shukrimun).

2 comments:

  1. Kenapa semasa saya sedang baca 1media my , tiba2 dia redirect ke sini? Cuba semak kembali admin. Tq. Tahniah dah capai pembaca hits lebih 1.2 juta. Terbaik

    ReplyDelete
  2. Tulisan alang shukrimun mmg terbaik. Mohon banyak kan lagi siaran tulisan tuan dalam harakahdaily.net

    ReplyDelete