8 Mar 2017

Seindah Lafaz Bismillah Siri 2


BAB 2
Husna membelek-belek buku rujukan di tangannya. Sudah lima buah buku dibaca tapi tidak ada suatu pun maklumat yang yang dicari. Jika ada pun hanya sedikit sahaja isu tersebut dikupas. Husna pulang ke rumah dengan perasaan sedikit hampa. Dua hari lagi dia perlu membentangkan tajuk tersebut  di dalam kelas, semasa waktu pembelajaran Pendidikan Islam nanti. Runsing juga dia dengan tajuk yang diberikan, Penambahbaikan Dalam Membina Sebuah Institusi Kekeluargaan.

“ Ya Allah, tolonglah hambaMu ini. Tunjukkan jalan yang terbaik,permudahkanlah urusanku.” Doa Husna mengharap jalan penyelesaian dari Ya Rabb.

Husna menyelusuri laluan pejalan kaki berdekatan dengan taman permainan. Walau pun jam baru menjengah 4 petang, kelihatan tiga orang kanak-kanak bermain di situ. Husna kenal siapa mereka bertiga itu dan cuba mendekati mereka.

“Assalamualaikum.” Husna menegur kanak-kanak itu.

Anak yang paling besar menjawab. “Waalaikummussalam. Eh, Kak Husna. Baru balik dari sekolah ke?”

Mereka bertiga mendekati dan memeluk Husna. Kegembiraan terserlah di raut wajah mereka. Husna memang menyukai kanak-kanak, tambahan pula dia tiada adik-beradik lain untuk bermain dan bermanja, jadi anak-anak kecil inilah yang selalu menjadi pengubat rindu.

Husna berasa kasihan dengan mereka bertiga. Hilang kasih sayang ibu bapa dan ditinggalkan di rumah dengan pembantu rumah. Pembantu rumah pula yang suka membiarkan saja anak-anak kecil itu bermain sendiri.

“Afiq dan adik-adik dah makan?”

Afiq, anak yang sulung mengangguk. “Makan apa?” Husna saja bertanya walaupun dapat mengagak apa jawapan yang akan diberikan.

“Telur goreng je Kak Husna. Tapi Ain lapar lagi Kak Husna. Tak kenyang pun makan telur tu. Bila Ain cakap nak makan lagi Kak Suri marah.” Nur Ain terus menjawab sambil mencebik bibir. Husna beristighfar.

 Sedih melihat Nur Ain dan Nur Atiqah, anak kedua dan ketiga pasangan Encik Saiful dan Puan Hashimah. Dek kerana kesibukan mengumpul harta dunia, anak-anak amanah Allah ini diabaikan. Bila ditegur, mereka menjawab, harta yang mereka kumpul bukan untuk orang lain tetapi untuk anak-anak juga. Tetapi realitinya, benarkah hasil kemewahan itu untuk anak-anak jika setiap hari hanya dihidangkan dengan telur mata goreng.

Pilu melihat anak-anak itu, Husna lantas berjalan laju menuju ke kedai runcit yang berdekatan. “ Jangan ke mana-mana ya, tunggu akak kat sini.” Husna membawa anak-anak itu berteduh di bawah pondok. Tak sanggup membiarkan kulit putih anak-anak itu dibahang oleh sinar mentari yang masih perit.

10 minit berlalu, Husna pun tiba kembali ke pondok itu dengan membawa sebungkus roti Gardenia, Butterscoth dan tiga kotak kecil susu coklat. Hampir menitis air mata Husna melihat ketiga-tiga anak itu makan dengan berseleranya seperti sudah lama tidak menjamah makanan. Selesai makan Husna menghantar  mereka pulang saja ke rumah. Bimbang juga hatinya meninggalkan anak-anak itu bersendirian di taman tanpa penjaga.

“Terima kasih Kak Husna.” Ucap Afiq dan adik-adiknya. Husna hanya mampu mengangguk. “ Kasihku padamu hanya kerana Allah.” Bisik hati Husna sambil mengusap-ngusap kepala anak-anak itu.

Husna melangkah lemah. Hati dan fikirannya asyik memutar-mutar kembali kejadian yang berlaku sebentar tadi. Rasa syukur yang teramat singgah di hatinya pada Yang Esa kerana mengurniakannya sepasang ibu dan ayah yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka bahkan Husna berasa amat bahagia sekali.

Lamunan Husna terhenti apabila terdengar laungan azan tandanya masuk waktu Asar. “Astaghfirullahal’adzim….” Istighfar panjang Husna dan terus menpercepatkan langkahnya. Hajatnya tadi ingin berjemaah Asar dengan ibunya. “Harapnya sempat”. Doa Husna dalam hati.

Sampai di rumah Sarimah sedang bersiap-siap untuk solat. Menjadi keutamaannya untuk dirikan solat di awal waktu dan meninggalkan pekerjaan yang dilakukan. “Segerakan solat setelah masuk waktu adalah lebih baik.” Pesan suaminya yang tercinta.

“ Ibu, tunggu Husna.” Pinta Husna sambil menuju ke bilik air. Sarimah mengangguk faham.

“ Alhamdulillah.” Husna mengucap syukur kerana masih sempat berjemaah dengan ibunya.

Selepas seketika, Sarimah dan Husna berjemaah megerjakan solat fardu Asar.

“Husna tak ada kelas ke hari ni?” Soal Sarimah sambil melipat telekung seusai solat dan mengaminkan doa. “Kelas batal ibu tapi Husna singgah perpustakaan kejap tadi.” Sarimah sekadar ingin mengambil tahu aktiviti anaknya itu agar setiap tindak tanduk anaknya dalam pengetahuan dan pemerhatiannya. Bukan bermaksud mengokong tetapi ia satu kewajipan ibubapa untuk memantau anak-anak akan apa yang yang mereka lakukan, dengan siapa mereka berkawan supaya mereka tidak tersasar jauh.

“Ibu, semasa dalam perjalanan pulang tadi, Husna jumpa dengan Afiq dan adik-adiknya. Kesian mereka ibu, bermain di taman sendirian.” Husna menceritakan apa yang berlaku dengan linangan air mata.

Sarimah memegang tangan anaknya, menenangkan Husna,faham hati Husna yang mudah tersentuh.  Keadaan Afiq dan adik-adiknya itu memang dalam pengetahuannya. Sebelum ini memang ada usaha yang dilakukan untuk menegur Encik Saiful dan Puan Hashimah tetapi tidak dipedulikan. Selaku salah seorang ahli jawatankuasa sebuah NGO kemasyarakatan memang menjadi tanggungjawabnya untuk memantau keluarga –keluarga yang bermasalah. Bahkan bukan keluarga Encik Saiful sahaja yang sebegitu tetapi ada lagi beberapa lagi keluarga yang lain.

“Ibu, kenapa keadaan mereka macam tu? Mereka tak kesiankan anak-anak ke, membesar tanpa kasih sayang yang cukup. Kalau tak mahu jaga anak kenapa beranak.” Geram Husna yang membuak-buak pada ibubapa yang tak bertanggungjawab ini menyebabkan dia melepaskan amarahnya itu di hadapan ibunya.

“Istighfar Husna, istighfar banyak-banyak. Jangan biar api amarah itu kuasai diri.” Husna terus tersedar. Mengucap panjang dia. “Husna minta maaf ibu.” Alhamdulillah, dia tidak terbawa-bawa dengan perasaan marahnya itu.

“Husna, sebenarnya Islam telah menggariskan cara dalam membina sebuah institusi keluarga. Ia cuma terserah kepada kita samaada mahu mengambilnya atau tidak. Pembinaan sebuah institusi keluarga sebenarnya bukan bermula dari seorang yang sudah bergelar ibu dan bapa atau yang sudah bergelar seorang suami atau isteri tetapi ia bermula dari diri individu yang akan memegang gelaran tersebut.”

“Hmmm…individu? Maksud ibu?” Husna sedikit kekeliruan.

Sarimah senyum dan meneruskan percakapannya itu. “Sebelum seseorang itu mahu melangkah ke arah alam perkahwinan ia haruslah bersedia terlebih dahulu. Bukan sahaja dari segi wang ringgit atau harta benda tetapi bekalan ilmu yang secukupnya untuk melayari sebuah bahtera perkahwinan.  Seperti yang ayah pernah sebutkan dulu tentang amanah. Seorang yang bakal bergelar suami perlulah mengetahui, memahami dan menghayati amanahnya sebagai seorang suami. Bukan senang untuk memikul amanah tersebut tersilap langkah, azab yang pedih menunggunya di akhirat nanti. Amanahnya itu bukan sekadar menjaga keperluan isteri seperti tempat berteduh, makanan dan pakaian atau keperluan batin semata-mata, tetapi ia perlu didik isterinya supaya rumahtangga yang terbina dihidupkan dengan suasana Islam, sebuah rumahtangga yang mendapat keredhaan Allah S.W.T. Begitu juga dengan seorang wanita yang bakal bergelar seorang isteri. Dia perlu mempersiapkan diri dengan ilmu bagaimana menjadi seorang isteri yang solehah, seorang isteri yang benar-benar akan beroleh syurga di akhirat kelak. Bagi mereka yang mahu berkahwin mereka harus sedar mereka akan berkongsi hidup dengan orang lain dan bakal memikul tanggungjawab dalam menjaga kebajikan fizikal dan mental pasangan masing-masing serta anak-anak yang bakal lahir ke dunia.”

“Habis tu ibu, kita tak boleh kahwin awal ke? Husna tengok ramai je senior-senior Husna kahwin muda.”

“Tak salah kalau nak kahwin muda asalkan diri mereka benar-benar bersedia. Cuma yang ibu kesalkan adalah remaja-remaja, anak-anak muda sekarang menjadikan alasan tidak mahu mendekati zina sebagai tiket untuk mereka berkahwin awal. Sedangkan mereka sebenarnya belum bersedia. Ada kes tu, baru kahwin tiga bulan dah failkan perceraian. Sebab itulah Islam melarang kita berkenalan, keluar berpasang-pasangan tanpa ada ikatan yang sah. Islam sudah meletakkan garis panduan dalam mencari jodoh. Jika kita benar-benar mengaplikasikannya, insya Allah gejala yang tidak sihat ini dapat dicegah. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati.” Terang Sarimah lembut.

“Sebagai seorang muslim, kita seharusnya menjaga sebaik-baiknya diri kita daripada terhumban kepada perkara mungkar ini. Perkahwinan itu haruslah dibina tanpa dicemari dulu kesuciannya. Jika perkahwinan itu dimulakan dengan perkara maksiat maka takut hilang keberkatan perkahwinan tersebut. Natijahnya, siapa tahu, mungkin perkahwinan itu tidak kekal lama kerana isi kandungannya hanya berpandukan nafsu semata bukan kerana Allah Ta’ala.”

“Husna rasa sekarang Husna faham. Kerana ketiadaan atau kedaifan ilmu di dada menyebabkan sebuah institusi keluarga gagal dibina atas dasar mencinta dan dicintai kerana Allah. Tanggungjawab dilepaskan. Anak-anak terabai. Yang paling merisaukan generasi-generasi yang baru ini menjadi generasi yang bermasalah kerana datangnya dari keluarga yang bermasalah. Keadaan ini juga boleh menyebabkan kepincangan dalam masyarakat. Betul tak ibu?”

Sarimah mengangguk. Dia merenung wajah Husna dan meneruskan lagi bicaranya.“ Apa yang menyedihkan ibu juga adalah sikap segelintir ibu bapa sekarang yang hanya melihat sahaja anak-anak mereka hanyut malah ada yang menggalakkan terutama dalam memilih calon menantu. Mereka biarkan anak-anak keluar berdua-duaan dengan pasangan masing-masing tanpa memikirkan halal haramnya. Alasannya adalah kerana mereka juga begitu dulu ataupun kerana zaman sekarang dah moden, biarlah anak-anak tentukan hidup mereka. Tanpa sedar ibu bapa ini mewariskan anak-anak dengan ilmu yang tidak benar. Kerana amalan ibubapa yang dulu, anak-anak sekarang juga diajar sebegitu dan tak mustahil cucu dan cicit mereka juga begitu. Walaupun kita faham suatu kebaikan atau keburukan itu tidak diwarisi dari ibubapa tetapi natijahnya tetap dapat dilihat hari ini.”

Tiba-tiba Husna teringat sesuatu. “ Alhamdulillah Ya Allah. Engkau telah menolongku tanpa aku sedari.”

Sarimah tersentak. Tiba-tiba nada suara anaknya sedikit menjerit mengucapkan syukur. “Kenapa ni Husna?”

“ Husna sungguh terharu dengan rahmat yang Allah berikan. Sebenarnya semasa di sekolah tadi Ustazah Hasiah ada memberi tugasan kepada setiap pelajar. Setiap seorang perlu membentangkan tajuk yang diberikan ustazah.  Tajuk yang Husna dapat pula adalah ‘ Penambahbaikan Dalam Membina Sebuah Institusi Kekeluargaan’. Ibu, memang benar sesuatu yang berlaku pada kita bukan sesuatu yang sia-sia bahkan ada hikmah yang tersimpan. Pertemuan Husna dengan Afiq, Nur Ain dan Nur Atiqah tadi sebagai pembuka jalan untuk Husna mendapat hujah – hujah yang berguna daripada ibu. Puas Husna mencari fakta-fakta penting di perpustakaan tadi tapi hampa. Tak banyak membantu.”

“Alhamdulillah, syukur. Sesungguhnya ilmu yang ibu sampaikan tadi juga datang dari Allah. Dialah yang memberikan ilmu itu dan ibu hanya menyampaikan sahaja. Hmm..kalau Husna mahu  rujukan, ibu ada sebuah buku, harapnya ia dapat membantu Husna menambahkan lagi kefahaman Husna, insya Allah.”

“Terima kasih ibu. Husna berasa amat gembira. Alhamdulillah. Sujud syukur padaNya.”

Dengan penuh keyakinan Husna telah membentang topik tugasannya pada hari yang telah ditetapkan oleh Ustazah Hasiah. Penerangan dan penghuraian yang disampaikan ringkas dan padat supaya mudah difahami dan dihadam oleh rakan sekelasnya. Ustazah Hasiah juga kelihatan berpuas hati dengan pembentangan Husna.

“Sebagai kesimpulannya di sini, keutuhan dalam sebuah institusi kekeluargaan adalah bermula dari diri setiap indvidu. Saya ingin memetik kata-kata seorang penceramah yang saya kagumi, ‘jangan mencari kebahagian dalam rumahtangga tetapi jadilah insan yang membawa kebahagiaan dalam rumah tangga itu’ . Oleh itu, kita perlu menjadi seorang yang bahagia terlebih dahulu dan pastinya kebahagiaan itu hanya pada Allah. Al-Quran diturunkan untuk dijadikan panduan bukan sekadar menjadi mahar  dalam sebuah perkahwinan. Fahami dan amalkan. Kalau tidak memahaminya, bertanya pada pakarnya kerana malu bertanya sesat jalan. Sekadar ini sahaja perkongsian kita pada hari ini. Mohon maaf atas sebarang kekurangan. Kebaikan dan kelemahan itu datang dari Allah untuk disandarkan atas insan yang lemah ini. “

“Waullahu’alam.” Husna menutup pembentangannya.

Satu perasaan yang puas dan syukur di raut wajah Husna. Alhamdulillah.

1 comment:

  1. Tulisan yg amqt baik. Jom lah tulis sekali sebagai kolumnis di harakahdaily.net

    ReplyDelete